Cara Nak Membantu Orang Kurang Upaya (OKU)
Bukan semua orang dilahirkan dalam keadaan normal seperti kebanyakan orang lain. Ada di antara kita yang dijadikan oleh Allah SWT dengan dilahirkan kekhilafan. Golongan yang digelar Orang Kurang Upaya (OKU) ini tidak harus kita pinggirkan dalam kita sibuk mengejar kecanggihan teknologi kini. Sebagai masyarakat yang perihatin dan bertanggungjawab, kita seharusnya membantu golongan ini untuk bersama-sama menikmati hidup yang sama seperti mereka yang normal. Mereka juga seharusnya diberi peluang untuk menerima pendidikan yang sempurna agar mereka dapat menuntut ilmu dan seharusnya menyumbang kepada pembangunan negara. Antara usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun pertubuhan NGO-NGO ialah menyediakan kelas pendidikan khas di kebanyakan sekolah. Bagi orang kurang upaya yang sudah dewasa perlu ditingkatkan kemahiran mereka dengan kerja-kerja yang bersesuaian dengan mereka seperti membuat kraftangan dan sebagainya. Dan sebagai guru pendidikan khas atau tenaga pengajar perlu mengajar mereka dapat kemahiran kendiri dan kerja-kerja agar mereka mampu hidup berdikari suatu hari nanti. Selain itu, pihak majikan haruslah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada OKU. Hal ini kerana OKU sememangnya terkenal dengan kemahiran dan ketekunan dalam melakukan sebarang pekerjaan. Kadang-kala hasil kerja mereka lebih kemas dan teratur berbanding pekerja yang normal. Gaji yang ditawarkan mestilah sama dengan gaji yang diberikan kepada pekerja-pekerja yang normal agar OKU tidak berasa mereka dipinggirkan. Kesimpulannya, OKU mampu untuk memberi sumbangan dalam arus pembangunan negara kita. Mereka harus diberi ruang yang luas agar mereka dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang yang sempurna sifatnya. Janganlah sesekali mengabaikan mereka. Mereka adalah insan yang teristimewa.
Ulasan