Sajak Kemerdekaan 2010
DI PENTAS KEBEBASAN
Kamu membakar hutan bandar kedai dan kereta disambar api kemarahan semarak darah generasi abad dua puluh satu siapa yang ditentang juga jelas menegakkan keadilan dengan tangan kasar meja rundingan pun turut dibakar. Seorang tua termanggu melihat kejadian peristiwa yang tidak terlintas di fikiran apakah yang dicari wahai anak muda? Aku yang membina tiang kemerdekaan kau bersorak bangga mematahkan. Aku yang mengecat tugu sejarah putih bersih sedap mata memandang kau conteng dengan niat hitam. Jari terketar tak mampu menampar tangannya letih hendak menangani mereka yang bingung di pentas kebebasan tercari-cari nama negeri bumi yang dipijak sedangkan ladang sudah dibajak benih sudah dipilih untuk disemai. Orang tua itu berbisik sedih aku membina kamu meruntuhkan. 31 OGOS, 1957
Engkau tarikh keramat kami terlepas daripada belenggu akan kami kenang sampai bila-bila. 31 OGOS TIBA LAGI
Setiap kali tibamu Ogos mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah dalam matang akal fikir semangat dan kudrat masih berbaki merisik khabar pejuang yang jauh dalam lipatan darmawisata merdeka mahalnya nostalgia. Manis dan comelmu Ogos ini tiba jua menyentak lolong makrifat membiak musim ceriteranya berderai plotnya berkecai mengirai skrip duga yang tak sudah atas aspal fatamorgana bumi bertuah. Ogos yang sujud di kaki merdeka tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang tetap menyimpul senyum meskipun termateri kenangan pahit yang mahal dan cantik. Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi bersama gemersik angin di bumi bertuah mendewasakan ukhuwah dan ummah siap siaga warga berdaulat memahat sejarah dalam tamadun bangsa yang gah. Terima kasih pejuang tanah merdeka terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!
KETAATAN DAN KEBERANIAN
Berjanjilah kami demi keberanian
melalui suara-suara hijaz
putaran kemerdekaan
menyusur sungai-sungai mati
kepada insan seikat masyarakat
yang telah bebas.
Dalam sejarah kepahitanmu
terselit larian aku anak kecil
dibentuk dalam kelas-kelas rendah
hingga ke kamar dewasa
jiwa ini digantung loceng mongel
lalu direntap-rentap
terbawa-bawa.
Titisan darah ibuku
pada papan cendana pejal
masih melekat di situ
di perigi yang telah terkambus
hanyir masih terbau
tembuni dalam diam berubah fosil
atas tanah yang merdeka.
Seperti selalu
berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil
menyamai pemberian hadiah bapamu
kami menyebut MERDEKA!!!
MERDEKA!!! MERDEKA!!!!
HUJAN MERDEKA
Di langit Ogos awan gembira mengkhabarkan hujan merdeka turun lagi untuk kesekian kalinya membasahi bumi keramat ini dinginnya merangkul perasaan nusa syahdunya menyelimuti hati pembela damainya bertakhta di tiap jiwa anak-anak bangsa. Telah kutemui mutiara yang tersembunyi dalam denai-denai usia yang menjanjikan kebahagiaan kukecapi aroma pembangunan kukucupi wangian pembebasan dan telah kuwarnai kanvas jati diri mengikut lakaran budaya dan potret bangsaku. Hujan merdeka turun lagi titisnya menjelajahi hati srikandi pertiwi tersenyum menerimamu memeluk janji yang termetarai harapan yang terkota teguh mengepung cinta. Terima kasih, hujan merdeka walau langit Ogos berlalu titisnya membasahi sepanjang musim.
MENYAMBUT MERDEKA
Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.
Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.
Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.
POKOK BANGSA ITU ADALAH KITA
Anak merdeka alaf baru!
antara bunga mimpi dan tragedi
dalam membina generasi globalisasi
bukanlah semudah mencipta
cerita kosong di kedai kopi
atau membiarkan bangsa kita dijajah lagi.
Anak merdeka alaf baru!
tanamlah, semailah, bajailah
anak pribumi agar tumbuh menjulang tinggi
demi generasi dan agama
mentafsir wawasan membina jati diri
meraih akar dalam tunjang diri
menegak pepohon yang merendangkan
dedaun semangat.
Anak merdeka alaf baru
siramkanlah falsafah minda
jangan biarkan kering dan mati
kerana pokok bangsa itu adalah serumpun
kerana pokok bangsa itu
adalah kita yang merdeka.
Ulasan